Friday, April 20, 2007
" Tanda Tanya Yin "
Alasan pasangan penuh persoalan
KUALA LUMPUR: Pelbagai persoalan kini timbul apabila pasangan suami isteri warga Myanmar yang menetap di negara ini kira-kira 20 tahun, mendakwa mereka tidak menyedari langsung kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, 5. Alasannya, mereka buta huruf dan tiada peti televisyen di rumah.
Lebih meragukan apabila pasangan itu mendakwa terpaksa mencukur rambut Yin selepas dua hari menjaga kanak-kanak berkenaan kerana dia diserang demam campak dan mempunyai bintik-bintik gatal di kepala.
Bagaimanapun, ketika diserahkan kembali ke pangkuan keluarganya, kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang kesan diserang demam campak dan kudis di kepala seperti dakwaan pasangan itu.
Selain itu, pasangan suami isteri terbabit mendakwa ketika Yin diserang demam campak, suhu badannya terlalu panas dan mereka terpaksa menjemput seorang doktor yang juga warga Myanmar untuk merawat kanak-kanak itu sebelum disapu sejenis ubat di seluruh badan.
Hakikatnya, bapa Yin, Shamsul Ghazali Shamsudin, mendakwa doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memeriksa anaknya mengesahkan kanak-kanak itu tidak kena campak dan tidak mengalami sebarang trauma selepas kejadian itu.
Tinjauan Harian Metro di rumah pasangan warga Myanmar di kawasan setinggan di Sentul Pasar di sini, mendapati kediaman berkenaan tidak dilengkapi televisyen, namun jiran mereka mempunyai kemudahan itu.
Malah, jiran pasangan itu yang juga warga Myanmar, enggan memberi sebarang komen dan mendakwa mereka tidak mengetahui mengenai kanak-kanak berkenaan.
Pasangan warganegara Myanmar itu, Abdul Rahman Doli Rahman, 31, dan Noorshida Nur Islam, 27, mempunyai lima anak berusia dua hingga 10 tahun ketika ditanya mengenai doktor yang merawat Yin, bagaimanapun mendakwa doktor itu sudah meninggalkan Kuala Lumpur kerana pulang ke negara asalnya.
Abdul Rahman yang bekerja mencari barang lusuh berkata, dia dan isteri menamakan Yin dengan nama Yusof dan kanak-kanak terbabit manja dengan mereka sekeluarga.
Pendatang terbabit berkata, dia dan isteri ke pusat beli-belah Sogo di sini, setiap hari untuk mengutip barang terbuang yang boleh dijual atau dikitar semula.
Ketika ditanya mengapa mereka tidak menyerahkan Yin kepada polis, Abdul Rahman berkata, dia dan isteri tidak mengetahui kanak-kanak itu orang hilang yang dicari selama ini serta tidak pernah berurusan dengan polis.
“Saya tak tahu membaca dan kami hidup susah, mana saya tahu budak ini ada ibu bapa,” katanya.
Yin, seorang kanak-kanak hiperaktif yang hilang sejak dua minggu lalu, ditemui semula kelmarin, selepas sepasang suami isteri warga Myanmar menghubungi seorang rakan bapa mangsa, Baharudin Hassan sebelum mereka bertemu di sebuah masjid di Sentul untuk menyerahkan kanak-kanak terbabit.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa pulang ke rumah Baharudin yang bersahabat dengan Shamsul Ghazali di Setiawangsa di sini, sebelum dihantar ke HKL untuk pemeriksaan kesihatan.
Yin hilang ketika mengikut ibu bapanya membeli-belah di Kompleks Sogo di sini, kira-kira jam 2 petang, 31 Mac lalu sebelum dia dijumpai wanita warga Myanmar yang mendakwa membawa kanak-kanak itu pulang ke rumahnya di Sentul Pasar.
Pelbagai usaha dilakukan untuk mencari kanak-kanak itu, termasuk menawarkan ganjaran kepada pemberi maklumat, solat hajat dan mengedarkan poster di sekitar ibu kota.
Mengadu sakit kaki
SUBANG: Muhammad Nazrin atau Yin yang hilang di Kompleks Sogo, Kuala Lumpur, dekat sini, 31 Mac lalu, mengadu sakit kedua-dua tapak kaki serta tangannya, selain kesan luka kecil serta mengelupas.
Bapanya, Shamsul Ghazali Shamsuddin, 35, berkata dia tidak dapat menceritakan keadaan sebenar Yin sepanjang berada dalam ‘simpanan’ pasangan Myanmar itu kerana anaknya tidak petah bercakap.
“Yin hanya mengadu sakit kaki dan tangannya, dia tak petah bertutur jadi tak banyak yang diceritakannya sepanjang tinggal dengan pasangan warga asing itu,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudaranya, di Taman Setia Warisan, Kampung Melayu Subang di sini, semalam.
Shamsul berkata, dia keliru dengan alasan pasangan suami isteri itu membotakkan kepala anaknya.
“Saya serah kepada polis untuk menyiasat pasangan itu,” katanya.
Malah, beliau berkata, jika pasangan Myanmar itu ditahan, mungkin polis ada sebab tertentu untuk menjalankan siasatan.
“Bagi saya, mereka (pasangan Myanmar) sudah tidak mempunyai masalah dengan keluarga saya kerana mereka sudah mengembalikan Yin,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan kesihatan masih dijalankan terhadap Yin dan doktor hanya memberi tempoh kira-kira dua jam untuk pulang ke rumah bagi meraikan kenduri kesyukuran yang dibuat saudara serta penduduk, semalam, sebelum Yin dihantar semula ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Tinjauan Harian Metro mendapati penduduk Taman Setia Warisan, menunggu kepulangan Yin sejak jam 9 pagi semalam dan bergotong-royong menyediakan hidangan jamuan kesyukuran.
Mereka menghulurkan sumbangan termasuk menyediakan lebih 10 kilogram (kg) daging lembu, 50 ekor ayam dan memasak 30kg nasi untuk dijamu seluruh penduduk taman perumahan berkenaan.
Suasana di dalam dan pekarangan rumah itu meriah dengan lebih 500 penduduk bersama-sama meraikan kepulangan Yin.
Yin pula tidak mengalami sebarang masalah dan asyik dengan permainannya tanpa menghiraukan kunjungan ramai.
Cuma sesekali Yin mengadu kesakitan akibat kulit tapak tangan serta kakinya mengelupas.
Shamsul yang bekerja di sebuah bank berkata, dia akan pulang ke Ipoh, Perak selepas menyelesaikan semua masalah di sini dan memulakan tugas 2 Mei ini.
“Majikan saya memberikan cuti sehingga akhir bulan ini bagi membolehkan saya menyelesaikan masalah membabitkan kehilangan Yin,” katanya.
Mengapa kepala dibotak?
KUALA LUMPUR: “Ketika pasangan suami isteri warga Myanmar itu menyerahkan Yin, semalam (kelmarin), saya tidak mengesyaki apa-apa perbuatan buruk selain hanya mahu berjumpa semula dengan anak kami.
“Tetapi, selepas laporan perubatan mengesahkan Yin tidak menghidap demam campak sepanjang tempoh kehilangannya seperti didakwa pasangan Myanmar terbabit, saya mula curiga dengan perbuatan mereka membotakkan kepala anak saya,” kata Nur Amizah Ahmad, 25, ibu kepada Yin atau Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali, 5, yang ditemui semula kelmarin, selepas hilang kira-kira dua minggu.
Dia berkata demikian selepas mengetahui pasangan warga Myanmar terbabit, Abd Rahman Doli Rahman, 31, dan Noorshida Nur Islam, 27, ditangkap di rumah mereka di Sentul di sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam, bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.
“Sekiranya benar tujuan mereka ‘menyembunyikan’ Yin untuk melakukan sesuatu yang tidak baik, saya amat marah walaupun pasangan ini sudah memulangkan anak saya.
“Bagaimanapun, saya menyerahkan perkara ini kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Nur Amizah yang agak terkejut ketika dimaklumkan mengenai penangkapan pasangan Myanmar itu berharap segalanya berjalan dengan baik tanpa sebarang tanggapan buruk mengenai kehilangan anak mereka.
“Walaupun mereka menyerahkan anak saya dalam keadaan selamat, tindakan pasangan terbabit membotakkan kepala selain mendakwa Yin diserang demam campak menimbulkan kemusykilan kami sekeluarga.
“Bagaimanapun, saya bersyukur Yin disahkan sihat oleh doktor selepas mendapatkan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner I Zulhasnan Najib Baharudin, mengesahkan pihaknya menerima maklumat daripada seseorang yang nampak Yin digunakan untuk tujuan sesuatu.
Difahamkan, Yin dibawa pasangan warga asing itu mengemis di sekitar Lembah Klang, sepanjang tempoh kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
“Polis akan menyiasat dakwaan terbabit manakala pasangan warga Myanmar itu akan dibawa ke mahkamah esok (hari ini) bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
“Segala aduan yang diterima mengenai kes ini akan disiasat secara menyeluruh,” katanya di sini, semalam.
Pasangan suami isteri warga asing itu ditahan di rumah mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik kanak-kanak itu dari penjaga sah di sisi undang-undang.
Katanya, polis tidak menutup kes kehilangan kanak-kanak itu dan akan terus menyiasat sehingga mengetahui punca dan apa yang berlaku terhadapnya.
“Kes ini sebenarnya tidak ditutup, tetapi operasi mencari kanak-kanak ini yang dihentikan,” katanya, mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bahawa kes berkenaan kini ditutup berikutan penemuan kanak-kanak terbabit, kelmarin.
Menurut Zulhasnan, siasatan awal mendapati Yin tidak pernah mengalami demam campak seperti didakwa pasangan Myanmar terbabit ketika mereka menjaganya selama dua minggu.
“Polis akan menyiasat mengapa pasangan itu membotakkan kepala kanak-kanak ini sedangkan laporan perubatan mengesahkan dia tidak mengalami demam campak sepanjang kehilangannya dua minggu lalu.
“Perkara ini diperkuatkan lagi dengan dakwaan orang ramai yang melihat Yin digunakan untuk tujuan tertentu di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Terus siasat
KUALA LUMPUR: Walaupun Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, sudah kembali ke pangkuan ibu bapanya kelmarin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu polis terus menyiasat punca sebenar kanak-kanak berusia lima tahun itu ‘disimpan’ keluarga Myanmar di Sentul di sini, selama dua minggu.
“Polis mesti terus menyiasat perkara itu secara terperinci untuk mengetahui punca dan bagaimana Yin langsung tidak dapat dikesan dalam tempoh dua minggu itu,” katanya selepas melawat Yin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, semalam.
Turut sama melawat Yin ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang diiringi Pengarah HKL, Dr Zaininah Mohd Zain, Ketua Jabatan Pediatrik yang juga pakar Neurologi Kanak-kanak, Dr Hussin Imam dan Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Dr Irene Chua.
Ibu bapa kanak-kanak itu, Shamsul Ghazali Samsuddin, 35, dan Nor Amizah Ahmad, 25, turut berada bersama anak mereka ketika lawatan itu.
Shahrizat berkata, beliau hairan kenapa Yin yang dikatakan pernah dibawa ke kedai masih tidak berjaya dikesan dalam tempoh itu.
Yin yang hilang sejak 31 Mac lalu, dijaga pasangan suami isteri warga Myanmmar, Noorshida Nur Islam, 27, dan Abd Rahman Doli Rahman, 31, yang tinggal di Sentul Pasar, di sini, sebelum menyerahkannya kepada ibu bapa Yin kelmarin dalam keadaan kepalanya dibotakkan.
Noorshida mendakwa kepala Yin dibotakkan kerana mengalami demam campak sehingga timbul bintik-bintik merah pada keseluruhan badan dan penyakit itu menyebabkan Yin mengalami kegatalan pada kepala.
Shahrizat berkata, kenapa ketika Yin dibawa ke klinik dan kedai tidak ada sesiapa yang perasan.
“Apakah ini disebabkan masyarakat sekitar tidak menyedarinya atau sengaja tidak mengambil berat.
“Itulah sebabnya saya minta pihak polis terus menyiasat untuk mengenal pasti puncanya atau mungkin ada sesuatu yang terselindung di sebalik kehilangan kanak-kanak ini,” katanya. - Bernama
Bro Rick Says....
Pepatah pernah berkata, " Buat Baik Berpada-pada, Buat jahat Jgn Sekali "
Terus kan menyiasat, dan bukti kan kebenaran nya...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment