Friday, April 20, 2007

Di Manakah Mereka



Budak hilang tanpa jejak: Hati tersentap rindukan anak

KUALA SELANGOR: “Pada 22 April ini, genap lapan bulan Nur Farah Ain ‘ghaib’ dari rumah. Januari lalu pula, kami sekeluarga menyambut ulang tahun kelahirannya yang keempat tanpa kehadirannya.

“Sudah kering air mata yang mengalir rindukan keletahnya yang manja dan pelbagai lagi. Saya merayu sangat pada sesiapa yang mempunyai maklumat atau menjaganya, pulangkan segera anak kami. Hati saya bagai disentap setiap kali rindukan dia,” kata Anita Taiban, 35.

Anita yang ditemui di kediamannya di Taman Kasawari, Bukit Rotan, tidak henti mengalirkan air mata sepanjang pertemuan dengan Harian Metro mengenangkan nasib anaknya yang hilang sejak 21 Ogos 2006.

Ibu empat anak itu berkata, setiap kali sembahyang, dia pasti berdoa kepada Allah supaya dipertemukan semula dengan Nur Farah Ain.

“Majlis sambutan ulang tahun Ain saya buat secara kecil-kecilan. Saya bungkus makanan ringan dan kemudian diagihkan kepada kanak-kanak di sekitar kawasan perumahan ini.

“Selain itu, setiap bulan, kami akan memasak makanan dan turut mengagihkannya kepada penduduk di sini sebelum meminta bantuan mereka mendoakan kepulangan Ain,” katanya sayu.

Menurut Anita, saat paling hiba ialah setiap kali dia sekeluarga melihat atau mahu menjamah ayam goreng yang menjadi kegemaran Ain.

“Masih terbayang Ain meratah ayam goreng di tepi peti sejuk pada malam kehilangannya manakala saya pula memerhatikan saja tingkah lakunya ketika itu.

“Jadi, setiap kali terlihat atau menggoreng ayam, pasti wajah Ain meratah makanan kegemarannya itu terbayang di mata saya,” katanya.

Lebih memilukan, Anita semakin pilu apabila membaca laporan berkaitan kehilangan kanak-kanak di laporkan di dada akhbar.

Dia kini tidak membaca akhbar yang memaparkan laporan kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali, 5, atau Yin, yang hilang ketika mengikut ibu bapanya membeli-belah di kompleks beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, sejak jam 2 petang, 31 Mac lalu.

“Saya terasa amat pilu setiap kali membaca laporan dan melihat wajah Yin di dada akhbar. Saya dapat rasakan perasaan ibu bapanya kerana saya sudah merasakan kepiluan itu sejak lapan bulan lalu.

“Sebab itu, saya tidak mahu membaca laporan berkenaan kerana saya perlu terus tabah menanti kepulangan Ain walaupun tidak tahu bila ia akan berlaku,” katanya.

Anita turut mengatakan, ramai pakar perubatan tradisional yang mengatakan anaknya itu disembunyikan bunian, jin atau dilarikan pihak tertentu.

Bagaimanapun, Anita sekeluarga bingung dengan semua pendapat itu kerana sehingga kini, tiada langsung maklumat atau bukti berkaitannya yang boleh dijadikan pedoman untuk menjejak mangsa.

“Kami mengumpul wang untuk bertemu dengan pakar perubatan Islam, Datuk Dr Harun Din bagi meminta jasa baiknya untuk mengesan lokasi Ain.

“Kalau ikutkan hati, kami juga mahu lakukan seperti apa dibuat bapa Yin atau lebih daripada itu. Bagaimanapun, kekangan kewangan menyebabkan kami terpaksa berikhtiar sekadar yang termampu saja,” katanya.

Menurut Anita, pintu kediamannya sentiasa dibiar terbuka kecuali pada tengah malam kerana berharap, jika ada individu datang ke sana menghantar Ain pulang, mereka tahu dia ada di rumah ketika itu.

Pernah beberapa kali individu tidak dikenali menaiki kereta berlegar di depan kediamannya tetapi mereka tidak berhenti atau bertanyakan apa-apa kepada Anita sebaliknya terus berlalu pergi apabila wanita berkenaan keluar menjenguk.

Anita berharap, lebih banyak pihak sudi membantu seperti apa yang dilakukan orang ramai dan pihak lain seperti kes Yin kerana dia turut kehilangan anak disayangi.

“Saya rindukan Ain. Bayangkanlah, saya mengandungkannya selama sembilan bulan dan akhirnya dia hilang begitu saja tanpa dapat dikesan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nur Farah Ain boleh menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999, balai polis berhampiran atau Anita di talian 017-6151470.

Budak hilang tanpa jejak: 100 bomoh cari Siti

JOHOR BAHRU: Sebagai Pembantu Masyarakat Kemas yang dikelilingi kanak-kanak setiap hari, Rozita Sabtu atau Mohd Daud, 39, cukup tertekan apabila anak bongsunya hilang secara tiba-tiba pada 16 Julai 2005.


Sehingga ini, nasib Siti Mursyazerin Musa, 6, yang hilang selepas keluar membuang sampah kira-kira 30 meter dari rumahnya di Jalan Ubi, Kampung Sri Jaya di sini, kira-kira jam 8.30 malam, belum diketahui.

“Pada mulanya sukar meneruskan kehidupan ini kerana saya bekerja di tadika di kampung itu dan sebahagian daripada hari saya dihabiskan bersama kanak-kanak.

“Keadaan itu menyebabkan saya sering terbayangkan Siti. Maklumlah, dia dilarikan ketika masih bersekolah dan kanak-kanak di Tadika Kemas semua seusianya.

“Namun, syukurlah, berkat sokongan keluarga, rakan dan tawakal kepada takdir Ilahi, saya kini lebih tabah dan tetap berharap dia akan ditemui,” katanya.

Sejak kehilangan anaknya itu, hidupnya kini tidak seceria dulu, terutama apabila berdampingan kanak-kanak sebaya dengan Siti, selain selalu terkenangkan gelagatnya.

Sehingga ini, dia sekeluarga membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi mencari Siti, termasuk mendapatkan kira-kira 100 bomoh di seluruh negara.

Selain itu, katanya, mereka sekeluarga masih mencari di sekitar Johor apabila tidak bekerja pada hujung minggu tetapi malangnya segala usaha itu belum mencapai kejayaan.

Sehubungan itu, dia amat berharap pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGO) yang kini giat mencari Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, 5, turut membantu mencari semua kanak-kanak lain yang hilang sebelum ini.

Budak hilang tanpa jejak: Kes Yin, Seong Sheng hampir sama

KUALA LUMPUR: Kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, 5, di kompleks beli-belah Sogo, 31 Mac lalu hampir sama dengan kes Tin Seong Sheng, 7, yang hilang lebih 10 tahun lalu walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengesannya.


Dalam kejadian pada 15 Januari 1996 itu, Tin dilaporkan hilang oleh bapanya, Tin Kuwi Dium selepas mendapati kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan.

Tin dipercayai diculik ketika menunggu bas di depan sekolahnya oleh sindiket dan mungkin diseludup keluar ke negara jiran.

Difahamkan dua wanita dan seorang lelaki, termasuk seorang bercermin mata hitam terbabit dalam kes penculikan mangsa yang dipercayai menggunakan sebuah van putih.

Walaupun usaha berterusan dibuat polis dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengesan kanak-kanak terbabit, Tin gagal dikesan, malah kehilangannya masih menjadi misteri hingga ke hari ini.

Pelbagai andaian dibuat berhubung kehilangan murid tahun satu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Taman Rashna, Klang itu, termasuk dia pernah dilihat mengemis di Terminal Bas, Johor Bahru dan Segamat, Johor.

Budak hilang tanpa jejak: Naluri ibu rasakan Nurul Iman masih hidup

SEREMBAN: Nasib malang Nor Amizah Ahmad bersama pasangannya Shamsul Ghazali Shamsuddin yang kehilangan anak ketika berbelanja di kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini turut dirasakan Sharifah Norani Syed Shahir, 36, yang kehilangan anak kira-kira setahun lalu.


Sharifah berkata, sehingga hari ini dia merasakan anaknya, Sharifah Nurul Iman Syed Kamarudin, 9, yang hilang selepas dipercayai terjatuh dalam longkang dekat Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja’afar, Ampangan masih hidup.

Beliau berkata, nalurinya sebagai ibu merasakan Nurul Iman masih hidup, cuma dia tidak tahu di mana anak perempuannya itu berada.

“Sehingga hari ini, kami sekeluarga tertanya-tanya di mana Nurul Iman berada kerana jika dia lemas tentu jasadnya ditemuinya,” katanya di sini, semalam.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Sharifah Nurul Iman Syed Kamarudin, 9, dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang dekat Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja’afar, Ampangan.

Budak hilang tanpa jejak: 'Amira masih hidup'

KUALA TERENGGANU: Biarpun tragedi kehilangan anak perempuan bongsunya sudah berlalu hampir tiga tahun, namun naluri seorang ibu tetap yakin dia masih hidup.


Bagi Shamsiah Idris, 48, dari Lorong Haji Da, Batu Burok, di sini, walaupun terpaksa berkorban wang ringgit, dia tetap tidak berputus asa dan terus berusaha mencari anak kesayangannya itu, Nurul Amira Mohamad.

“Selagi ada hayat, mak cik akan terus berusaha dengan apa cara sekalipun untuk mengembalikannya ke pangkuan keluarga walaupun kesihatan sendiri semakin uzur akibat sakit jantung.

“Walaupun mak cik orang susah dan tiada banyak wang tetapi tetap berusaha mencarinya meskipun terpaksa bergolok-gadai,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, semalam.

Menurutnya, sejak anaknya, Nurul Amira yang berusia 12 tahun ketika dilaporkan hilang pada akhir Disember 2004, pelbagai usaha dilakukan, termasuk dengan bantuan bomoh selain melakukan solat hajat.

“Sudah beribu wang dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan semula anak mak cik. Malah, usaha menjejaki Nurul Amira bukan saja dilakukan menggunakan khidmat bomoh tempatan, sebaliknya di seluruh pelosok negeri dan Thailand.

“Namun, usaha mak cik belum lagi dapat mempertemukan semula dengannya. Cuma, mak cik berharap sebelum menutup mata, Nurul Amira kembali ke pangkuan keluarga kerana kami begitu merinduinya,” katanya.

Katanya, nalurinya sebagai ibu tetap mengatakan Nurul Amira masih hidup dan tinggal dengan seseorang.

Sejak hilang, dia sering bertemu anaknya dalam mimpi dan kali terakhir pada September tahun lalu apabila mangsa pulang dengan wajah ceria dan sempat bergurau senda dengan kakaknya, Nurul Diana, 17 tahun.

“Ketika itu menjelang Ramadan dan mak cik baru saja keluar dari hospital selepas dirawat lebih satu bulan kerana menghidap sakit jantung.

“Dalam mimpi itu mak cik terlalu gembira apabila melihat dia bermain dan bergurau dengan kakaknya, malah sempat bersembang dan bertanyakan di mana dia menghilang.

“Dengan gembira dia memberitahu berada di Perlis selepas diajak seseorang ke negeri itu tetapi apabila terus ditanya tempat tinggalnya, dia hanya membisu dan bayangannya kemudian hilang begitu saja,” katanya.

Shamsiah berkata, dia yakin Nurul Amira masih hidup kerana jika seseorang itu sudah meninggal dunia, dia tidak akan berkata-kata apabila hadir dalam mimpi.

“Namun, Nurul Amira tidak begitu kerana dia sempat bergurau dan bersembang dengan mak cik dan kakaknya,” katanya.

Sepanjang temu bual berlangsung, walaupun nampak tenang, namun kesedihan dan kerinduan Shamsiah dan suaminya, Mohamad Omar, 64, terhadap anak yang menjadi kemanjaan keluarga tetap terpancar.

Bro Rick Says....
Banyak lagi sebenarnya kes2 lama tentang kehilangan kanak2 yg masih belum selesai, diharap mereka semua akan ditemui suatu hari nanti....mari la bersama-sama kita membantu dan berdoa...

No comments: