Thursday, April 26, 2007

Hatem, penonton bergelut



SEREMBAN – Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan menjalankan siasatan rapi dari semua aspek berhubung kejadian jurulatih pasukan Negeri Sembilan Naza, Hatem Souissi dikatakan menyerang penonton selepas perlawanan Liga Super di antara pasukan itu dengan Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini, malam kelmarin.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, siasatan tersebut akan diadakan dengan adil dan saksama termasuk mengambil keterangan daripada semua pihak serta mengumpul bukti yang secukupnya bagi memastikan tidak ada pihak yang teraniaya.

‘‘Siasatan ini akan dikendalikan oleh Lembaga Disiplin PBNS sebelum diserahkan kepada jawatankuasa pengurusan untuk tindakan selanjutnya.

‘‘Bagaimanapun sehingga kini saya belum menerima laporan rasmi mengenai kejadian ini dan ia akan dijalankan sebaik sahaja laporan tersebut diserahkan,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Hatem yang memanjat pagar stadium dan menyerang penyokong pasukan terbabit yang mengkritiknya serta para pemain pasukan itu.

Kejadian tersebut berlaku ketika penonton mula meninggalkan stadium sejurus tamat perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini malam kelmarin.

Jurulatih dari Tunisia yang pernah melatih Malaysia pada Kejohanan Belia Dunia di Kuala Lumpur pada 1997 itu dilihat menyerbu ke arah penonton Negeri Sembilan yang menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat ke arahnya serta para pemain.

Hatem dilihat berlari laju menuju ke arah penyokong berkenaan dan memanjat pagar yang memisahkan padang serta tempat duduk penonton di bahagian belakang gol berdekatan papan markah (scoreboard) sebelum dikatakan menyerang penyokong terbabit.

Kemudian berlaku pergelutan di antara Hatem dengan beberapa penyokong sebelum pemain dan pasukan simpanan persekutuan (FRU) campur tangan.

Ekoran daripada itu, seorang penyokong Alizan Tambi, 36, yang juga ahli jawatankuasa Kelab Penyokong Negeri Sembilan membuat laporan polis di Balai Polis Senawang mendakwa beliau dipijak oleh Hatem di dada.

Perlawanan Liga Super itu berkesudahan dengan Negeri Sembilan Naza seri 2-2 dengan Perlis.

Bro Rick Says....
Macam mana bola sepak Malaysia nak maju kedepan, jika Jurulatih bersikap demikian???

No comments: