Saturday, May 5, 2007

Kesihatan mulut wajar diberi perhatian

MEMILIKI gigi yang sihat dan senyuman menawan tentunya menjadi impian setiap daripada kita, namun untuk memilikinya, banyak perkara yang perlu diambil kira. Bermula dari aspek pemakanan hinggalah kepada penjagaan gigi dengan cara yang betul, mesti dilakukan dengan disiplin untuk mengelakkan gigi daripada rosak.

Akibat kurang peka terhadap keadaan gigi sendiri, pelbagai masalah terpaksa dihadapi antaranya berlaku pendarahan gusi atau gusi bengkak (gingivitis), radang pulpa gigi (pulpitis) dan yang paling kerap dihadapi, kaviti yang juga dikenali sebagai pereputan gigi.

Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr Wong Foot Meow, berkata hasil kaji selidik yang dijalankan di seluruh Asia pada 2006 menunjukkan dalam kategori berus gigi, ubat gigi dan ubat kumur, Malaysia mendapat peratusan lebih rendah berbanding negara lain di Asia seperti Thailand dan Filipina.

Kira-kira 33 peratus isi rumah di Malaysia tidak membeli berus gigi baru sekurang-kurangnya setahun sekali dan paling mengejutkan pelbagai pihak, purata penggunaan ubat gigi setahun hanyalah 265 gram seorang, bersamaan memberus gigi hanya sekali setiap dua hari bagi rakyat negara ini.

“Walaupun kesihatan mulut sering diabaikan, amalan penjagaan yang baik amat perlu kerana ia adalah sebahagian daripada kesihatan keseluruhan. Amalan menjaga mulut dengan baik adalah langkah penting untuk mencegah kaviti.

“Satu cara untuk menjaga gigi kita dan mencegah kaviti ialah dengan memberus gigi dengan menggunakan ubat gigi yang mengandungi kalsium dan fluorida,” katanya ketika ditemui pada perasmian Bulan Kesihatan Mulut 2007 di pusat beli-belah 1 Utama, Damansara, baru-baru ini.

Kempen berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datin Dr Norain Abu Talib. Turut hadir Pengarah Urusan Colgate-Palmolive (Marketing) Sdn Bhd, Lefteris Vitalis.

Dr Wong berkata, rutin yang perlu diamalkan untuk menjaga kesihatan mulut dan mencegah kaviti adalah menerusi empat langkah mudah termasuk memberus, menggunakan flos, berkumur dan mendapatkan pemeriksaan doktor pergigian secara tetap.

“Sejak dari dulu lagi, rakyat Malaysia amat susah untuk melakukan pemeriksaan gigi. Ini terbukti apabila hasil tinjauan kaji selidik Kesihatan Mulut Rakyat Malaysia 2000 menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengalami masalah kaviti.

“Hal ini disebabkan oleh rasa takut kepada kesakitan yang akan mereka hadapi jika berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan gigi. Pemikiran sebegini perlu diubah kerana jika dibiarkan berterusan, fakta yang membimbangkan ini tidak akan berubah,” katanya.

Dalam hubungan ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memberi maklumat secara tepat kepada anak mengenai kesihatan mulut serta betapa pentingnya menjaga mulut. Kanak-kanak akan lebih berasa takut jika orang dewasa seperti ibu bapa menunjukkan ketakutan untuk melakukan pemeriksaan gigi di klinik.

Bukan kesihatan gigi kanak-kanak saja perlu diambil berat, bayi yang baru tumbuh gigi juga perlu diberi perhatian. Setiap kali selepas memberi bayi anda makan, lap gigi mereka menggunakan kain lembap untuk menanggalkan segala sisa makanan yang melekat dan sekiranya keseluruhan gigi mereka sudah keluar sepenuhnya, gunakan berus gigi lembut yang dikhaskan untuk kanak-kanak.

Sesudah umur mereka menginjak, ajar mereka untuk memberus gigi dua kali sehari dengan cara yang betul menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida yang mampu menguatkan gigi dan membaiki kawasan yang lemah sebelum terjadinya kaviti. Ingatlah bahawa pengabaian kesihatan dan penjagaan mulut boleh merosotkan kualiti hidup seseorang dengan menjejaskan keyakinan sosial.

Sehubungan itu, bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pengurusan penjagaan mulut yang lebih baik, Colgate-Palmolive dan Persatuan Pergigian Malaysia berganding bahu bagi tahun keempat melancarkan kempen Bulan Kesihatan Mulut 2007 di seluruh negara bertemakan Kaviti Sifar Untuk Senyuman Lebih Sihat.

Sepanjang April ini, akan diadakan pemeriksaan pergigian secara percuma di lebih 430 klinik pergigian di seluruh negara, di samping pameran bergerak di empat pusat beli-belah terpilih iaitu 1 Utama, Pacific Mall Kota Bahru, Sunshine Square Penang dan Giant Plentong Johor Bahru.

Bagi sesiapa yang mendapatkan pemeriksaan gigi di lokasi acara pameran bergerak dan klinik pergigian ini, akan menerima sampel produk Colgate secara percuma.

Maklumat mengenai pameran bergerak dan pemeriksaan pergigian di klinik yang ditetapkan boleh didapati dalam akhbar harian utama, menerusi talian Bulan Kesihatan Mulut Colgate, 1-800-883-918 atau menerusi laman web Colgate: http://www.colgate.com.my.


FAKTA: Kaviti

Berpunca daripada sisa makanan yang tertinggal di celah gigi sehingga membentuk plak mengakibatkan gigi berlubang.

Orang dewasa juga menghadapi risiko apabila kaviti memusnahkan gigi dan membunuh saraf di tengahnya hingga mengakibatkan gusi bengkak akibat jangkitan di hujung akar gigi.

Kekurangan kalsium dalam diet juga boleh meningkatkan risiko anda mendapat kaviti.

Gigi menjadi kuat jika ada mine ral seperti kalsium, fosforus, magnesium dan fluorida.

Seperti tulang, gigi memerlukan kalsium yang mencukupi terutama apabila kandungan mineral ini yang diperlukan oleh tubuh tidak menepati di dalam diet seharian.

Bro Rick Says....
Senyuman yang manis dan gigi yang putih, pasti menawan sesiapa yang memandang.

No comments: