Jangkitan kulat pada faraj tak jejas kesuburanKEPUTIHAN dihadapi kebanyakan wanita adalah sesuatu yang normal. Umumnya, setiap wanita ada keputihan kerana ia sebenarnya proses perubahan hormon dan pembersihan yang mana sel sudah mati pada lubang faraj dikeluarkan.
Pensyarah Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Nur Azurah Abdul Ghani (gambar), berkata selain wanita yang sudah berkahwin dan hamil, remaja perempuan juga ada mengalami masalah keputihan, malah ada kalanya budak kecil turut tidak terkecuali.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebiasaannya remaja jarang dapat keputihan kecuali mereka mengambil ubat tertentu seperti mengambil ubat untuk penyakit diabetes, mempunyai sistem badan rendah atau seorang yang aktif secara seksual.
Berbanding wanita hamil memang berisiko mengalami masalah keputihan kerana perubahan hormon yang berlaku ketika kehamilan menyebabkan wanita berkenaan sesuai untuk mengalami jangkitan kulat. Secara anggaran, hampir 80 peratus atau 8 dalam 10 wanita hamil mungkin ada masalah keputihan.
Begitu juga wanita yang sudah berkahwin, dianggarkan 75 peratus akan mengalami masalah keputihan. Masalah itu berlaku sebab wanita itu sudah ada pendedahan seksual dan ini menyebabkan dirinya senang dijangkiti.
“Ada ibu yang risau tengok anak perempuan daripada usia bayi lagi sudah ada keputihan. Hal itu tidak perlu bimbang kerana keputihan adalah kitaran perubahan hormon dalam badan yang menyebabkan cecair itu keluar.
“Remaja dan wanita lain juga tidak perlu bimbang jika ada keputihan kerana selagi tidak mendatangkan gatal dan tiada kemerah-merahan pada bahagian sulit, ia dikatakan keputihan yang biasa atau disebabkan kitaran hormon,” katanya ketika ditemui Berita Harian di HUKM, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Nor Azurah berkata, keputihan dianggap bermasalah atau yang lain daripada biasa, seandainya ia keluar terlalu banyak, berbau busuk dan hanyir serta menyebabkan bahagian sulit berasa gatal atau radang. Keputihan itu juga tidak berwarna putih lagi, tetapi berketul-ketul seperti keju dan menjadi kekuningan serta hijau.
Keadaan seumpama itu selalunya disebabkan penyakit lain atau dikaitkan dengan jangkitan kuman seperti tricomonas, bakteria dan flagellat.
Jika keputihan keluar banyak sehingga menyebabkan berasa gatal dan sakit pada bahagian sulit, beliau menasihatkan wanita berkenaan perlu berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan rapi. Ini berikutan, kegatalan yang amat sangat menyebabkan seseorang itu menggaru sehingga kulit vagina akan melecet dan terasa pedih atau seperti terbakar.
“Faraj mengandungi kuman semula jadi bacillus asidofilus yang menghasilkan asid lactate berfungsi melindungi faraj dari kemasukan kulat dan kuman. Kadangkala pembiakan kuman asidofilus meningkat dan menyebabkan pengeluaran cecair berwarna putih kekuningan dan berbau masam.
“Bau masam pun boleh berlaku akibat tindak balas kuman kepada peluh yang sering berlaku pada bahagian kemaluan. Kadangkala keasidan faraj kurang dengan tahap yang memudahkan sejenis kulat yis menghinggapinya dan membiak serta menjadi masalah,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Nor Azurah berkata kebanyakan wanita malu untuk membuat pemeriksaan doktor dan menganggap masalah seumpama itu perkara biasa. Hanya kurang 15 peratus yang datang untuk membuat pemeriksaan doktor.
“Rata-rata yang datang pula apabila sudah ada radang dan tidak tahan lagi menahan sakit. Selain itu, ada yang lebih suka merawatnya dengan kaedah tradisional dan cuba mengubah amalan pemakanan. Jika tidak berjaya, baru mereka datang berjumpa doktor untuk rawatan. Tetapi bagi kebanyakan wanita hamil masalah keputihan dirawat dan dikesan doktor apabila wanita berkenaan membuat rutin pemeriksaan,” katanya.
Dr Nor Azurah berkata, masalah keputihan disebabkan jangkitan kulat tidak membawa kesan pada kesuburan. Tetapi dari segi hubungan seksual antara suami isteri memang ada kesan. Apabila masalah keputihan teruk dan berbau sudah tentu tiada keinginan untuk melakukan seks.
Katanya, radang pada kawasan sulit menyebabkan pasangan berasa sakit dan tidak selesa apabila hendak bersama. Malah, walaupun tidak dikategorikan dalam penyakit kelamin berjangkit, jika isteri ada masalah keputihan, suami boleh mendapat jangkitan kuman itu dan kesan yang dialaminya juga sama termasuk, sakit ketika hendak buang air.
“Pakai seluar dalam pun berasa sakit apatah lagi hendak bersama. Keadaan itu sama seperti bayi yang berasa sakit dan sering menangis apabila melecet dan ada masalah ruam atau radang lampin,” katanya.
Mengenai kaedah rawatan herba yang digunakan untuk mengatasi masalah keputihan, Dr Nor Azurah berkata, ada penggunaan rawatan itu yang menyebabkan kes pendarahan berlaku. Rawatan itu bukan saja menyebabkan keputihan hilang, tetapi membuatkan rahim mengecut.
Pengecutan rahim kadang-kadang menyebabkan keluar darah beku dan darah yang banyak. Tetapi pendarahan yang berlebihan dan tidak mudarat, tidak mengapa selagi wanita itu sendiri boleh toleransi dengan keadaan berkenaan.
“Banyak yang kata, herba berkesan tetapi tiada data untuk menyokong. Jadi, biarkan individu buat keputusan sendiri. Seperti rawatan moden yang juga ada kesan sampingan, begitu jugalah rawatan herba. Cuma bezanya, rawatan moden ada kajian dan data yang menyokongnya.
“Tidak adil menyatakan rawatan herba itu berkesan atau sebaliknya. Tetapi satu perkara kita perlu faham, kaedah perubatan tradisional itu sudah lama diamalkan orang dulu dan didapati berkesan serta diperturunkan dari generasi ke generasi hingga kini. Jadi, jangan membelakangkan kaedah tradisional kerana sudah ada kesahihan walaupun tiada sokongan data,” katanya.
FAKTA: Keputihan yang dihadapi kebanyakan wanitaSecara umumnya, wanita mudah mengalami keputihan pada sekitar sebelum waktu haid mereka.
Rawatan masalah keputihan boleh dirawat tetapi boleh berulang jika tidak mengambil dos ubat yang ditetapkan.
Ada dua jenis rawatan iaitu pil makan dan ubat sapu atau ubat suppofositori berbentuk peluru yang dimasukkan ke dalam ruang faraj.
Wanita yang berkahwin, hamil dan sudah ada hubungan seksual lazimnya, akan diberikan suppofositori yang diambil untuk pagi dan malam. Wanita yang belum berkahwin atau belum pernah ada aktiviti seksual rawatan lebih sesuai ialah pil makan.
Rawatan selalunya seminggu tetapi yang menjadi masalah ada pesakit yang ambil tiga kali seminggu kemudian berhenti apabila sudah nampak kesannya.
Krim sapu bertujuan untuk mengurangkan masalah radang, gatal dan melecet pada bahagian sulit dan celah kangkang.
Individu yang mengalami masalah keputihan disarankan mengamalkan amalan pemakanan dengan membanyakkan makan sayur hijau dan dadih yang ada kandungan lactobasillus,
Wanita yang ada masalah radang digalakkan kerap menukar seluar dalam dan pakai yang diperbuat daripada kain kapas serta longgar.
Ada kes yang mengambil pil perancang mengalami masalah keputihan yang teruk, tetapi tidak semua yang mengambil pil perancang ada masalah keputihan.
Cara pemeriksaan ialah doktor meneliti faraj wanita itu dengan menggunakan alat pembuka faraj dan mengambil cecair untuk melakukan kajian mikrob supaya dapat mengenali jangkitan sebenar serta ubat yang lebih spesifik diberi.
Contoh jenis jangkitanKulat Candidiasis (keputihan seperti kepingan susu basi) yang perlu dirawat.
Kuman Tricomonas (lelehan keputihan atau tidak berwarna cair, banyak, berbuih)
Bacterial vaginosis (lelehan berbuih, berbau hanyir)
Kuman Chlamydia (jarang menyebabkan lelehan)
Kuman Gardneralla (lelehan cair berbau busuk)